| |
KENYATAAN MEDIA MENGENAI PAKEJ PENSTRUKTURAN SEMULA SUBSIDI
Kerajaan
komited untuk memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana
tidak akan dibebani dengan kenaikan kos petrol dan makanan. Namun, kos
petrol dan komoditi di peringkat global, telah mengalami kenaikan yang
drastik dan subsidi perlu distruktur semula supaya bantuan dapat
diagihkan dengan lebih adil. Subsidi yang distruktur semula ini akan
memberi lebih manfaat kepada mereka yang memerlukannya, terutama
golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Kabinet hari ini
telah meluluskan satu pakej penstrukturan semula subsidi bahan api yang
turut merangkumi mekanisme untuk melindungi golongan berpendapatan
rendah dan sederhana.
Untuk itu, Kabinet telah memutuskan
untuk mengambil langkah-langkah berikut, sebagai pakej permulaan
program penstrukturan subsidi:
1. PENSTRUKTURAN SUBSIDI PETROL DAN DIESEL DI PAM Berkuatkuasa
esok, 5 Jun 2008, harga petrol akan meningkat sebanyak 78 sen dan
diesel sebanyak RM1.00 setiap liter. Harga baru petrol dan diesel di
pam adalah RM2.70 seliter dan RM2.58 seliter.
Untuk
mengurangkan beban kenaikan kos petrol dan diesel ke atas golongan
berpendapatan rendah dan sederhana, Kabinet juga bersetuju untuk
memberi bayaran tunai kepada warga Malaysia yang memiliki kenderaan
persendirian termasuk pemilik motosikal seperti berikut:
a) Bagi
pemilik kenderaan persendirian berkapasiti enjin sehingga 2000cc serta
pick up truck dan jip berkapasiti enjin sehingga 2500cc, bayaran tunai
sebanyak RM625 setahun bagi setiap kenderaan akan diberikan.
b)
Bagi pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin sehingga 250cc,
bayaran tunai sebanyak RM150 setahun bagi setiap motosikal akan
diberikan.
Bayaran tunai ini akan diberi apabila pemilik
kenderaan dan motosikal membayar atau memperbaharui lesen kenderaan
bermotor (cukai jalan). Bayaran ini meliputi kenderaan dengan cukai
jalan yang berkuat kuasa mulai 1 April 2008 hingga 31 Mac 2009. Bayaran
tunai ini akan diberikan secara Kiriman Wang (Money Order) di pejabat
Pos Malaysia, di seluruh negara, mulai 1 Julai 2008.
Bagi
pemilik kenderaan dan motosikal yang tidak termasuk dalam kategori
bayaran tunai tersebut, Kabinet telah memutuskan untuk mengurangkan
cukai jalan mengikut kadar berikut berkuatkuasa 1 Jun 2008:
a)
Bagi pemilik kenderaan persendirian petrol dan diesel berkapasiti enjin
melebihi 2000cc, cukai jalan akan dikurangkan sebanyak RM200.
b)
Bagi pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin lebih daripada
250cc, cukai jalan akan dikurangkan sebanyak RM50, tertakluk kepada
cukai jalan minima sebanyak RM2.
2. MENYELARASKAN SUBSIDI DIESEL UNTUK SYARIKAT PENGANGKUTAN YANG DILULUSKAN, SYARIKAT PENGANGKUTAN VESEL DAN NELAYAN
Pada
masa ini, operator pengangkutan, nelayan dan pemilik vesel menikmati
harga subsidi berbeza bagi diesel. Harga diesel adalah RM1.00 seliter
untuk nelayan dan RM1.20 seliter bagi pemilik vesel. Kabinet hari ini
telah bersetuju untuk menyelaraskan harga diesel kepada RM1.43 seliter
berkuatkuasa esok 5 Jun 2008. Harga yang diselaraskan ini tidak akan
menjejaskan syarikat pengangkutan di bawah sistem fleet card kerana
mereka akan terus menikmati subsidi petrol dan diesel pada harga ini.
Untuk
itu, Kabinet telah bersetuju untuk membayar sebahagian daripada
perbezaan harga lama dan baru secara tunai kepada nelayan dan pemilik
vesel seperti berikut:
a) Bayaran tunai sebanyak RM200 setiap
bulan bagi setiap pemilik dan pekerja vesel rakyat Malaysia yang
berdaftar dengan Jabatan Perikanan
b) Bayaran insentif kepada
pemilik vesel pada kadar 10 sen sekilogram hasil tangkapan ikan yang
didaratkan oleh vesel perikanan berdaftar di pusat pendaratan ikan di
dalam Negara.
Pembayaran akan diuruskan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Kabinet
memutuskan pengusaha bot penumpang sungai juga akan diberi bayaran
tunai sebanyak 10 sen seliter berdasarkan kuota yang diluluskan.
3. PETRONAS AKAN MENYUSUN SEMULA SUBSIDI GAS
Mulai 1 Julai 2008, harga gas yang dibekalkan oleh Petronas di Semenanjung Malaysia akan diubah seperti berikut:
a) Bagi sektor elektrik, harga akan dinaikkan daripada RM6.40 setiap mmBtu kepada RM14.31 setiap mmBtu;
b)
Bagi pengguna sektor industri yang menggunakan kurang daripada 2mmscfd,
harga yang ditetapkan oleh Gas Malaysia Sdn Bhd (GMSB) akan dinaikkan
daripada RM9.40 setiap mmBtu kepada RM24.54 setiap mmBtu.
c)
Bagi pengguna sektor industri yang menggunakan lebih daripada 2 mmscfd,
harga gas yang dibekalkan oleh Petronas akan dinaikkan daripada RM11.32
setiap mmBtu kepada RM32.56 setiap mmBtu.
Bagaimanapun, bantuan
khas akan diberikan kepada pengguna GMSB iaitu bagi kategori Perusahaan
Kecil dan Sederhana (PKS). Pengguna ini akan menghadapi kenaikan yang
lebih rendah bagi kadar tarif gas.
Selaras dengan dasar tenaga
boleh diperbaharui (sustainable energy), Petronas akan mengurangkan
subsidi bagi sektor elektrik secara progresif sejajar dengan harga
pasaran semasa, sehingga tahun ke-15, apabila parasnya mencecah harga
pasaran. Pada masa yang sama, subsidi bagi sektor industri akan
dikurangkan secara progresif sejajar dengan harga pasaran, sehingga
tahun ke-11, apabila parasnya mencecah harga pasaran.
Harga
minyak masak (Gas Petroleum Cecair atau LPG) dan Gas Asli bagi
Kenderaan (NGV) tidak akan berubah. Harga bagi LPG dan NGV tetap pada
kadar sedia ada iaitu RM1.75 setiap kg dan 63.5 sen setiap liter.
4. STRUKTUR BARU TARIF ELEKTRIK
Untuk
sekian lama, rakyat Malaysia termasuk sektor komersil dan industri,
telah menikmati diskaun yang tinggi bagi gas yang disediakan oleh
PETRONAS. Pada masa yang sama, Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa
menampung kenaikan harga arang batu.
Dengan penstrukturan
semula subsidi gas dan kenaikan harga arang batu, Kerajaan telah
meluluskan satu struktur baru tarif elektrik bagi membolehkan TNB
menyerap kos bahan api bagi gas dan arang batu. Struktur tarif baru
yang akan berkuatkuasa pada 1 Julai 2008 ini, akan diguna pakai oleh
semua pengguna domestik (rumah), komersil dan industri di Semenanjung
Malaysia sahaja. Satu struktur tarif baru akan diumumkan tidak lama
lagi bagi Sabah dan Sarawak.
Selaras dengan hasrat Kerajaan
untuk melindungi sebaik mungkin kebajikan golongan berpendapatan rendah
dan sederhana, struktur tarif elektrik yang baru ini tidak akan
menjejaskan pengguna yang menggunakan 200 Kilowat Jam (kWj) ke bawah
setiap bulan dengan anggaran bil elektrik adalah kurang daripada
RM43.60. Ini bermakna, 59 peratus isi rumah di Semenanjung Malaysia
akan membayar kadar yang sama selagi mereka mengekalkan tahap
penggunaan yang sama.
Pengguna komersil dan industri akan
mengalami peningkatan sebanyak 26 peratus. Bagaimanapun, bagi kategori
komersil dan industri, pertimbangan dibuat kepada peruncit, pekedai dan
pengusaha restoran kecil, serta pengguna industri seperti perusahaan
kampung yang menggunakan tidak melebihi daripada 200 Kilowat Jam (kWj)
setiap bulan akan hanya mengalami kenaikan 18 peratus. (Butiran
terperinci bagi tarif baru elektrik dikepilkan bersama).
Langkah-langkah
yang telah disebut adalah selaras dengan keputusan Kerajaan untuk
menstruktur semula subsidi, yang mana usaha ini akan menuju ke arah
harga pasaran yang sebenar, meningkatkan kecekapan pasaran serta
menggalakkan rakyat Malaysia untuk menjimatkan sumber tenaga. Sektor
komersil dan industri akan menjadi lebih bermotivasi untuk melaksanakan
langkah-langkah kecekapan dalam operasinya sementara pengguna bagi isi
rumah akan mengamalkan penjimatan tenaga serta mengelak daripada
pembaziran.
5. SUMBANGAN SYARIKAT PENJANA TENAGA BEBAS (IPP) DAN PENGELUAR MINYAK KELAPA SAWIT (POP) KE ARAH MENGURANGKAN BEBAN RAKYAT
IPP
dijangka menjana keuntungan lebih daripada pulangan pasaran. Selaras
dengan penstrukturan semula subsidi bagi gas, Kerajaan telah memutuskan
untuk melaksanakan peruntukkan di bawah Akta Levi Keuntungan Berlebihan
1998 (Windfall Profit Levy Act 1998), ke atas IPP, sebagai sumbangan
mereka terhadap kenaikan kos bahan api untuk menjana tenaga elektrik.
Kuantum bagi levi itu adalah 30 peratus daripada lebihan pulangan aset
pada nilai threshold melebihi 9 peratus berdasarkan akaun mereka yang
diaudit.
POP juga, yang telah mencatat kenaikan untung ekoran
harga minyak kelapa sawit yang tinggi di pasaran dunia. Kabinet hari
ini telah bersetuju untuk memansuhkan levi sistem subsidi minyak masak
(COSS) yang sedia ada berkuatkuasa 1 Julai 2008. Bagi menggantikannya,
Kabinet telah membuat keputusan untuk melaksanakan peruntukan di bawah
Akta Levi Keuntungan Berlebihan 1998 ke atas POP. Levi berikut akan
dikenakan pada peringkat pemproses (millers):
i) Bagi Sabah dan Sarawak, 7.5 peratus bagi setiap tan minyak mentah kelapa sawit (CPO) yang melebihi RM2,000
ii) Bagi Semenanjung Malaysia, 15 peratus bagi setiap tan CPO yang melebihi RM2,000
Walaupun
COSS telah dimansuhkan, harga minyak masak tetap sama kerana hasil
daripada pelaksanaan levi baru ini akan digunakan untuk membiayai
subsidi minyak masak.
Kadar levi bagi POP di Sabah dan Sarawak
adalah lebih rendah memandangkan mereka juga perlu membayar cukai
kepada Kerajaan negeri (sebagai contoh 7.5 peratus ke atas CPO di Sabah
dan 5 peratus ke atas CPO di Sarawak).
6. PENGAGIHAN PENJIMATAN DARIPADA PENSTRUKTURAN SEMULA SUBSIDI DAN PENDAPATAN YANG DIPEROLEH DARIPADA LEVI
Kerajaan
menganggarkan sejumlah RM13.7 bilion daripada penjimatan yang akan
diperolehi daripada penstrukturan semula subsidi petrol, diesel dan gas
serta pendapatan daripada levi yang dikenakan terhadap IPP dan POP. .
Dikepilkan bersama lampiran maklumat pengagihan berkenaan.
7. MENINGKATKAN THRESHOLD CUKAI PERKHIDMATAN BAGI PERKHIDMATAN RESTORAN DI LUAR HOTEL
Restoran
yang terletak di luar hotel yang telah mencapai perolehan jualan
tahunan (threshold) lebih daripada RM500,000 dikenakan cukai
perkhidmatan pada kadar 5%. Terdapat rungutan mengenai threshold cukai
perkhidmatan ini yang dianggap terlalu rendah sehinggakan gerai makanan
di kawasan luar bandar kini mampu mencapainya.
Bagi memastikan
rakyat tidak terbeban dengan bayaran cukai perkhidmatan dalam
memperoleh perkhidmatan penyediaan makanan dan minuman oleh restoran
yang terletak di luar hotel, Kerajaan bersetuju threshold cukai
perkhidmatan bagi restoran sebegini ditingkatkan daripada RM500,000
kepada RM3 juta.
Peningkatan threshold di atas berkuat kuasa mulai 1 Julai 2008.
|
 |